Ronnie Liu
Ronnie Liu
Khairul Najib Asarulah Khan


“JANGAN bimbang atau khuatir, perjumpaan itu sekadar untuk memperingati kedamaian yang terjalin sejak 30 tahun,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadirannya di majlis memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 di sebuah dewan di Kajang semalam.

Menurutnya, kehadirannya ke majlis itu juga atas dasar peribadi dan bukannya wakil ahli politik.

“Saya menyambut baik program itu disebabkan ia bukan mengajak ke arah ideologi komunis atau menghidupkan kembali fahaman itu (komunis).

“Kita hanya mahu ingat kembali sejarah dan mereka yang tidak fahami sejarah saja yang tidak menyokong hari memperingati kedamaian ini.

“Gencatan senjata PKM selain perbincangan bersama membawa kepada kehidupan dalam suasana harmoni yang dinikmati secara bersama ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ronnie Liu berkata, perjumpaan itu dihadiri bekas ahli PKM, ahli keluarga dan kenalan mereka untuk mengimbas kembali peristiwa sejarah berkenaan.

“Kebanyakan mereka berusia 60 tahun ke atas dan boleh dikatakan saya yang paling muda semasa perjumpaan itu.

“Jika perjumpaan itu dalam usaha bagi mewujudkan semula fahaman komunis, saya juga tidak setuju dalam memastikan keharmonian dan kedamaian yang dinikmati kini perlu dipelihara selain segalanya perlu dilakukan secara demokrasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, program berkenaan dijalankan secara tertutup yang mana permit tidak diperlukan.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perjumpaan berkenaan. Namun maklumat berhubung majlis berkenaan sudah diperoleh.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai aspek dan sudut berkenaan majlis itu,” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan hampir 400 orang mengadakan perjumpaan terbabit.

Berita berkaitan

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 1:16 AM