FOTO Hiasan
Fardy Bungga


SEORANG lelaki sempat membuat ‘live’ menerusi akaun Instagram (IG) miliknya sebelum membunuh diri di Apartment Jalan Tuaran Bypass, di Kota Kinabalu, semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditemui dengan kesan toreh di pergelangan tangan dan calar di badan pada 12.30 tengah hari oleh ahli keluarganya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, hasil siasatan, polis dimaklumkan oleh anak saudaranya bahawa mangsa ada membuat ‘live’ melalui Instagram sebelum kejadian.

Katanya, anak saudara lelaki itu mendakwa terdengar mangsa berkata dia mengalami tekanan semasa ‘live’ berkenaan, namun perbualan lain tidak dapat didengari dengan jelas.

“Polis mengesyaki mangsa dipercayai membunuh diri dengan kesan toreh di pergelangan tangan kanan.

“Selain itu, siasatan awal di badan mangsa turut mempunyai kesan luka di siku tangan kiri dan calar di belakang badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

George berkata, setakat ini tiada sebarang peralatan ditemui di tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:36 AM