CHIN Peng. FOTO Arkib NSTP
CHIN Peng. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS mengesahkan sudah mengambil keterangan lima lagi individu berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini, menjadikan keseluruhan tujuh individu diambil keterangan setakat ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pada Jumaat lalu polis sudah memanggil lima individu dan dua daripada mereka dirakam percakapannya.

Menurutnya, sehari selepas itu lima lagi individu dipanggil serta kesemua mereka juga sudah diambil keterangan dan siasatan dijalankan pihak Bukit Aman.

“Tujuh individu itu adalah mereka yang terbabit dan saksi yang menerima abu mayat, menaburkan di kaki Banjaran Titiwangsa dan lain-lain.

“Siasatan dijalankan oleh pihak Bukit Aman dan lokasi yang ditunjukkan oleh saksi di mana abu mayat itu ditabur juga sudah dilawati,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Manjung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Seri Manjung, hari ini.

Jumaat lalu, dilaporkan lima individu hadir di IPD Ipoh dipercayai untuk memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Sebelum ini, media melaporkan satu kumpulan menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang untuk memperingati Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Berita berkaitan

Saya pun risau - Muhyiddin

Abu mayat Chin Peng: Hanya 2 diambil keterangan

Abu mayat Chin Peng: Lima individu beri keterangan

Abu mayat Chin Peng: KDN siasat

'Mengguris hati kami' - Veteran tentera, polis

'Tak perlu rujuk sejarah, mata jadi saksi'

Polis Perak tak terima laporan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 12:37 PM