RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO Arkib NSTP.


“ALLAHU Akbar.... apa nak jadi ni!” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi akaun Twitter rasmi baginda, hari ini.

Baginda bertitah sebagai reaksi terhadap beberapa gambar individu separuh bogel dalam Ekspo Tattoo Malaysia 2019.

Tunku Azizah dilihat mengulang ciap, ciapan pengguna Twitter @AheriAnuar yang menggesa agar Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengulas kejadian itu.

“Budaya apa yang mendasari kepimpinan kerajaan PH (Pakatan Harapan) ini ya? Event (acara) begini pun terlepas,” kata @AheriAnuar.

CIAPAN Raja Permaisuri Agong mengenai isu Ekspo Tattoo Malaysia 2019.

Semalam tular gambar lelaki dan wanita bertatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa itu.

Ekspo berlangsung pada 29 November sehingga semalam didakwa mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) seperti tertera di layar belakang pentas.

Bagaimanapun, Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang peragaan separuh bogel dalam ekspo itu dan mustahil bagi kementeriannya untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen lucah.

Dalam pada itu, pengguna Twitter @NabilRuslim meminta isu itu dibahaskan di Parlimen.

“Ini negara Islam. Walaupun, tidak sehebat pada zaman Rasulullah SAW tapi hormatilah agama kita,” katanya.

Sementara @ashvinmenon pula berkata, ia acara konvensyen tertutup dan berbayar bagi mempamerkan budaya yang ada di negara ini.

“Saya minta maaf kepada Tuanku, namun saya gagal melihat kesalahan dalam acara ini (merujuk kepada Ekspo Tattoo Malaysia 2019),” katanya.

Berita berkaitan

Ekspo tatoo: MOTAC tak pernah luluskan

Ekspo tatoo: MyCEB tunggu laporan lengkap polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:23 PM