ANGGOTA APM mengangkat Rafiah ke dalam lori untuk berpindah ke PPS selepas laluan ke rumahnya di Kampung Jeram Hilir, Kuala Nerus dinaiki air. FOTO Imran Makhzan.
ANGGOTA APM mengangkat Rafiah ke dalam lori untuk berpindah ke PPS selepas laluan ke rumahnya di Kampung Jeram Hilir, Kuala Nerus dinaiki air. FOTO Imran Makhzan.
Norizuan Shamsuddin


ENGGAN pindah walaupun laluan utama ke kediamannya di Kampung Jeram Hilir, Kuala Nerus, dinaiki air sehingga 0.6 meter, hari ini.

Itu situasi berlaku apabila wanita warga emas, Rafiah Sulong, 73, yang tinggal sebatang kara di rumah di lokasi terbabit enggan berpindah sehingga terpaksa dipujuk pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Bagaimanapun, selepas hampir 30 minit dipujuk dengan mendapat kerjasama saudara tinggal berdekatan, warga emas terbabit akhirnya bersetuju untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong.

Tindakan terbabit dilakukan APM berikutan bimbang keselamatan wanita terbabit apabila paras air Sungai Nerus semakin meningkat hingga melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Malah, terdapat laluan di sekitar kawasan kampung terbabit turut dinaiki air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Warga emas yang tinggal sendirian di kediaman berkenaan selepas kematian suami pada tahun lalu dibawa APM ke PPS terbabit pada 4 petang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PPS SK Bukit Guntong, Azli Wan Long berkata, sehingga kini terdapat 50 mangsa ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka bermula 10.30 pagi hari ini.

Katanya, daripada jumlah terbabit terdapat sembilan warga emas, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dan seorang bayi perempuan.

“Semua mangsa dipindahkan ke PPS ini membabitkan penduduk dari Kampung Jeram Hilir, Kampung Bukit Nangka dan Kampung Pulau Gelugor yang tinggal berdekatan Sungai Nerus.

“Kami nasihatkan penduduk supaya mengambil tindakan segera untuk berpindah ke PPS sekiranya berlaku banjir di kawasan kediaman mereka.

“Kami akan melakukan pemantauan di setiap kediaman dinaiki air bagi memastikan penghuni dipindahkan ke kawasan selamat sekiranya paras air semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 6:38 PM