PESAKIT warga emas dibawa ke Hospital Jerteh menaiki pesawat EC725AP. FOTO Ihsan TUDM
Norizuan Shamsuddin


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa pesakit warga emas yang mengalami serangan jantung dan terkena gigitan lipan untuk di hantar ke Hospital Jerteh, hari ini.

TUDM menerusi satu kenyataan berkata, penerbangan ihsan membawa pesakit, Ahmad Nizal, 77, dilaksanakan pada 3.14 pagi tadi.

“Pesakit terbabit dibawa oleh pesawat EC725AP dari Padang Bola FELCRA Keruak ke Pangkalan Udara Gong Kedak dan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Jerteh.

“Pesawat terbabit dikendalikan Mejar Nor Ismazairee Ismail dan pembantunya Kapten Mohammad Fais Abdul Halim serta dua anggota Kuartermaster Udara (AQM) serta empat anggota mencari dan menyelamat (SAR).

“Turut serta dalam penerbangan terbabit adalah Pegawai Perubatan Angkatan Tentera, Mejar Dr Muhammad Fitri Daud bersama seorang kakitangan perubatan,” katanya.

Jelasnya, penerbangan Mercy Flight atau Op Murni yang dilakukan itu adalah yang keempat dilaksanakan TUDM susulan bencana banjir melanda di sekitar daerah Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:44 AM