Zuliaty Zulkiffli


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menghantar 20 anggota dan pegawai untuk Misi Kemanusiaan membantu mangsa banjir di pantai timur sejak semalam.

Pegawai Sekretariat APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, pihaknya sudah menghantar bagi perjalanan pertama membabitkan anggota dan aset termasuk dua lori lima tan, sebuah bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, mereka bertolak sejak petang semalam dan dijangka tiba di Besut, Terengganu, pagi ini.

“Kumpulan ‘trip’ pertama ini dijangka berada di Terengganu selama seminggu dan sekiranya banjir masih belum pulih, kita akan menghantar kumpulan kedua seramai 20 anggota lagi ke sana.


ANGGOTA APM Kedah terbabit dalam misi kemanusiaan bantu mangsa banjir di Pantai Timur menyusun jaket keselamatan untuk dibawa ke Besut, Terengganu. FOTO Zuliaty Zulkiffli

“Setakat ini kami dimaklumkan jumlah mangsa banjir di Terengganu makin bertambah, malah keadaan banjir di sana makin buruk, namun berharap misi bantuan banjir ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Yan, semalam.

Turut serta ketika pelepasan misi bantuan banjir itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah.

Mohd Muaz berkata, kebanyakan anggota yang dihantar sebahagiannya sudah mempunyai pengalaman ketika membantu mangsa banjir sebelum ini dan berharap mereka dapat melakukan tugas dengan baik.

Beliau berkata, kesemua anggota terbabit dipilih dari APM di beberapa daerah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 10:04 AM