FOTO Arkib NSTP


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan dua pusat penempatan sementara (PPS) yang boleh menempatkan 1,716 mangsa jika berlaku banjir di daerah ini.

Dua PPS itu ialah di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) membabitkan 1,400 mangsa manakala di Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota pula 316 mangsa.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, setakat ini segala persediaan sudah disiapkan sekiranya berlaku banjir pada bila-bila masa.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan memastikan mangsa banjir berada dalam keadaan selesa apabila berada di dua pusat berkenaan.

“Di Kompleks SUKPA, sebanyak 350 petak yang disediakan dengan sebuah khemah yang boleh memuatkan empat orang iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak dan begitu juga di Wisma Belia yang membabitkan 79 petak.

“Seramai 53 kakitangan MPK dari Jabatan Perancangan Pembangunan dan Seksyen Pusat Setempat akan bertugas di PPS itu,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko kawasan mereka dilanda banjir sentiasa peka dengan keadaan cuaca.

Katanya, sekiranya kawasan mereka mula dinaiki air, mereka perlu bertindak segera untuk berpindah ke PPS yang disediakan.

“Kita tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini disebabkan kelewatan untuk berpindah apabila kawasan penempatan mereka mula ditenggelami air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 10:52 AM