FOTO Hiasan
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN lelaki dipercayai tokan dadah untuk melarikan diri dan bergelut dengan anggota polis gagal apabila dia akhirnya ditahan di tepi jalan Kampung Charok Kudong, di Pendang, semalam.

Lelaki berusia 30-an yang dipercayai pengedar dadah di Pendang dicekup pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, sepasukan anggotanya menemui dadah dalam beg berzip warna coklat gelap yang disilang pada badannya iaitu 12 paket plastik lutsinar pelbagai saiz besar yang berisi bahan disyaki dadah heroin anggaran berat 194.57 gram.

Beliau berkata, turut ditemui sebuah alat penimbang digital, tujuh paket plastik lutsinar kosong, sebuah alat pemetik api dan sebilah gunting besi.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai mengedar dadah di sekitar Kampung Charuk Kudong, Pendang.

“Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:10 PM