Hannah Yeoh beramah mesra bersama sebahagian warga OKU pada Program Santai Bersama OKU sempena Hari OKU 2019. FOTO Bernama
BERNAMA

ORANG Kurang Upaya (OKU) dan seorang pengiring akan menikmati tambang percuma bagi kemudahan perkhidmatan pengangkutan kendalian Prasarana Malaysia Bhd pada Sabtu dan Ahad ini sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019.

Mengumumkan perkara itu pada program Santai Bersama OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 di Putrajaya hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tambang percuma itu membabitkan perkhidmatan MRT, monorel dan LRT.

“Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad OKU mereka untuk pengesahan bagi menikmati kemudahan ini,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam teks ucapan yang dibacakan timbalannya Hannah Yeoh yang mewakili beliau merasmikan program itu.

Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja ke Pantai Timur hari ini bagi melawat mangsa dan pusat pemindahan banjir.

Menurut Dr Wan Azizah, Prasarana menyediakan insentif untuk pengguna OKU yang mana OKU berdaftar dan mempunyai kad konsesi mendapat potongan tambang 50 peratus apabila menggunakan mana-mana kemudahan pengangkutan yang disediakan Prasarana.

Menurutnya, data sehingga Jun 2019 menunjukkan terdapat 549,554 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita mengharapkan lebih ramai OKU berdaftar dengan JKM dan seterusnya mengambil bahagian dalam inisiatif atau program yang bersesuaian,” katanya.

Yeoh yang ditemui selepas majlis itu berkata, golongan OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 boleh memasuki Muzium Negara dan Balai Seni Negara secara percuma dan menikmati diskaun 20 peratus untuk penginapan di Hotel Seri Malaysia mulai hari ini hingga 8 Disember ini.

“Golongan OKU juga boleh masuk secara percuma ke Pusat Sains Negara tanpa had masa,” katanya.

Yeoh berkata, pada tahun hadapan, kad OKU dijangka dapat dikeluarkan dalam masa lebih singkat iaitu 30 hari apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima peruntukan untuk menambah satu mesin pencetak kad berkenaan di setiap negeri.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, KPWKM sudah menubuhkan Special Project Team (SPT) untuk meneliti, menggubal dan menyediakan draf bagi pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 untuk memperkasa golongan itu.

Beliau berkata, SPT dengan 25 anggota itu mewakili pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman berkenaan OKU.

Dr Wan Azizah berkata, SPT itu akan mula bersidang pada Januari 2020 selama enam bulan untuk menghasilkan draf Pindaan Akta OKU yang komprehensif, dengan sasaran untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:18 PM