BEBERAPA laluan di sekitar Miri mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam. FOTO Kandau Sidi


SEMUA pihak berkuasa tempatan di Sarawak perlu mewujudkan talian hotline banjir bagi memudahkan masyarakat membuat aduan dan bantuan bencana alam itu ketika musim tengkujuh sekarang.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting berkata, menerusi talian itu orang awam lebih mudah mendapatkan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau itu berkata, terdapat masyarakat tidak menjangka akan berlaku banjir, malah mereka juga tidak tahu saluran untuk dihubungi bagi meminta bantuan.

“Misalnya 1.40 pagi semalam, dua keluarga menghubungi saya untuk meminta bantuan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat.

“Saya kemudian meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyalurkan segera bantuan kepada keluarga berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Miri, hari ini.

Sebastian berkata, ketika situasi cemas, amat penting talian hotline banjir diwujudkan 24 jam bagi memudahkan mangsa banjir menyalurkan maklumat seterusnya meminta bantuan.

“Kita menjangkakan banyak kawasan di Miri akan menghadapi banjir kilat jika hujan lebat turun berterusan seperti kejadian sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk di Miri diminta mengambil langkah berwaspada berikutan musim tengkujuh bakal tiba.

keterangan gambar:

Beberapa laluan di sekitar Miri mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:28 PM