PEMBANTU tadika, Nur Iman Nadhira Yusri, 24, dilaporkan hilang selepas keluar dari tempat penginapan kursus disertainya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan keluarga
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMBANTU tadika dilaporkan hilang selepas keluar dari tempat penginapan kursus disertainya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

Wanita itu, Nur Iman Nadhira Yusri, 24, disedari hilang selepas didapati tiada di dalam biliknya oleh pihak pengurusan kursus terbabit kira-kira 5 petang.

Bapanya, Yusri Kamarudin, 51, berkata, anak kedua daripada empat beradik berkenaan menyertai kursus pendidikan kanak-kanak di lokasi terbabit sejak September lalu.

“Kursus itu diadakan setiap bulan selama seminggu dan memerlukan Nur Iman tinggal di tempat penginapan disediakan sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya menghantar Nur Iman ke tempat penginapan kursus berkenaan pada 6.20 petang kelmarin bagi latihan amali. Bagaimanapun, saya menerima panggilan telefon 5.40 petang, semalam, daripada pihak pengurusan kursus yang memaklumkan Nur Iman hilang,” katanya ketika dihubungi,hari ini.

Yusri berkata, Nur Iman sepatutnya menjalani latihan amali bersama rakannya di taska di Batu Caves, namun dia tidak pergi ke lokasi berkenaan.

“Rakannya memaklumkan tidak melihat kelibat Nur Iman ketika mereka mahu bergerak ke taska terbabit. Ketika itu, mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka Nur Iman bergerak sendiri ke taska terbabit.

“Namun selepas balik dari latihan amali berkenaan, pihak pengurusan menyedari Nur Iman tiada bersama rakannya sebelum membuat pemeriksaan di dalam biliknya.

“Pemeriksaan mendapati beg pakaian, baju, dompet dan telefon bimbit milik Nur Iman tiada di dalam bilik berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada saya,” katanya yang juga seorang peguam.

Menurut Yusri, Nur Iman tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kehilangannya.

“Setahu saya, Nur Iman tiada apa-apa masalah dan dia tidak pernah menceritakan apa-apa kepada kami (keluarga) memandangkan perwatakannya yang pendiam.

“Saya sudah cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal kerana ia dimatikan. Kami sekeluarga risau terhadap keselamatannya di luar sana dan berharap dia segera pulang,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung kejadian itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Nur Iman diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:51 PM