Dr Mahathir menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019 menerusi rakaman video di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur. FOTO Aziah Azmee


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pekerja bidang teknikal perlu dilengkapkan dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’ berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

Menurutnya, ia selaras dengan perkembangan global terkini, khususnya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) berpaksikan kepada teknologi terkini yang menyasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan lebih pantas, pintar dan dinamik.

“Usaha kita bersama ini dapat memastikan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dalam bidang teknikal dapat dikawal dan dikurangkan.

“Kita tiada pilihan melainkan berusaha dengan lebih agresif untuk memartabatkan dan mengiktiraf profesion teknikal ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Sambutan HPTN bertemakan ‘Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama’ buat julung kali itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kejayaan sesebuah negara tidak akan dapat dicapai tanpa adanya sumber tenaga kerja terlatih, kompetitif dan mempunyai kepakaran dan keupayaan terkini.

“Kita dapat lihat, dalam kalangan negara maju pembangunan modal insan terutama dalam bidang teknikal amatlah dititik berat,” katanya.

Beliau berkata, negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman menekankan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda utama pendidikan untuk menghasilkan lebih ramai profesion teknikal.

Katanya, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam memastikan STEM dan TVET diutamakan.

“Statistik terkini menunjukkan 44 peratus pelajar di Malaysia menjadikan bidang STEM pilihan mereka yang mana kerajaan mensasarkan peratusan ini ditingkatkan kepada 60 peratus pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, di negara maju profesion teknikal memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara, sebagai contoh tujuh daripada 10 syarikat terbesar negara di Jerman bernilai Euro 170 bilion adalah berasaskan teknikal seperti ICT, telekomunikasi dan automotif.

Katanya, negara maju berkenaan sentiasa menekankan inovasi dan penghasilan teknologi terkini, sehingga menjadi antara negara paling banyak mendaftar paten antarabangsa.

“Kepakaran rakyat Malaysia juga diiktiraf oleh negara luar yang mana ramai rakyat Malaysia bekerja di negara lain mempunyai ilmu tinggi terhadap pekerjaan masing-masing terutama dalam profesion teknikal.

“Ini terbukti melalui kejayaan Petronas yang kini beroperasi di merata dunia yang mana kakitangan syarikat itu menguasai ilmu dan kecekapan dalam bidang teknikal industri minyak dan gas. “Kejayaan ini sudah pasti menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:58 PM