BANJIR di Kampung Matang menyebabkan jalan yang menghubungkan Kampung Kepah terputus selepas hujan lebat sejak beberapa lalu, di Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis penamatan amaran cuaca buruk dan waspada di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, hari ini.

METMalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan hujan berterusan dijangka akan berlaku di beberapa bahagian di Sarawak.

Katanya, amaran cuaca waspada (kuning) dikeluarkan untuk negeri Sarawak berkuatkuasa hari ini sehingga 5 Disember membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah.

Angin kencang di antara 40 – 50 kilometer/ jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh berkenaan.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, di Kelantan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 12,485 daripada 4,348 keluarga yang ditempatkan di 70 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 1:30 PM