ZULFARHAN Osman Zulkarnain.
Nor Azura Abdul Jalil


“SAYA tiada niat untuk mencederakan Zulfarhan, apatah lagi untuk membunuhnya,” kata penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Muhammad Afif Najmuddin Azamat.

Muhammad Afif, 23, berkata demikian pada perbicaraan peringkat bela diri kes bunuh Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lalu.

Saksi keempat pembelaan yang juga tertuduh keempat itu berkata, selain rakan kadet di UPNM, dia dan Zulfarhan juga sama kelas asasi di universiti berkenaan malah, hubungannya dengan Zulfarhan baik, tiada kebencian dan dendam terhadap mangsa.

Dalam keterangannya, tertuduh berkata, ketika Zulfarhan disoal oleh beberapa pelajar mengenai kes kecurian, keadaan ketika itu tegang dan terdapat sedikit kekecohan.

“Pada ketika itulah seseorang beri seterika wap untuk saya guna ke atas Zulfarhan.

“Saya secara spontan guna seterika itu di bahagian paha luar Zulfarhan sebanyak dua kali, tak sampai sesaat pun,” katanya.

Tertuduh turut menunjukkan cara bagaimana dia menggunakan seterika wap itu terhadap Zulfarhan kepada mahkamah.

Ketika disoal peguam Datuk Seri M Ramacheelvam yang mewakilinya mengenai reaksi Zulfarhan ketika itu, Muhammad Afif berkata, Zulfarhan menarik kaki dan seolah-olah mengerekot.

Menurutnya, selepas itu dia meletakkan seterika wap di atas meja sebelum balik semula ke biliknya di bilik 3-3, blok asrama Jebat dan tidak berjumpa dengan Zulfarhan lagi selepas itu.

Muhammad Afif berkata, dia bersama tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; tertuduh keenam Abdoul Hakeem Mohd Ali; dan saksi pendakwaan ke-12 Muhammad Sufi Mohd Mustapha, membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bangi menaiki kereta tertuduh ke-16, Muhammad Hasif Ismail pada 27 Mei 2017, jam 12 tengah hari.

“Setelah selesai rawatan di klinik, saya minta Muhammad Hasif menghantar saya ke Terminal Bas Selatan untuk saya pulang ke rumah saya di Negeri Sembilan,” katanya.

Pada sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim mengenai apakah perkataan yang disebut Zulfarhan ketika dia meninggikan suara, Muhammad Afif menjawab Zulfarhan berkata, “jangan”.

Ketika ditanya Hakim Datuk Azman Abdullah adakah tertuduh mencuba seterika wap itu di badannya terlebih dahulu, Muhammad Afif berkata, dia tidak mencuba.

AZMAN: Kamu tahu kan air yang mendidih akan keluarkan asap. Seterika wap itu ada keluar asap tak?

MUHAMMAD AFIF: Ada Yang Arif.

Perbicaraan bersambung esok.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 4:52 PM