Bomba membawa turun pengendali kren dengan menggunakan sistem pengusung bertali. FOTO Ihsan JBPM
Khairul Najib Asarulah Khan


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa hampir dua jam untuk menurunkan pengendali kren yang dalam keadaan separuh sedar di tapak projek Batu 11, Cheras semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 5.52 petang dan lapan anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba lima kemudian mereka mendapati lelaki berusia 29 tahun itu berada di bahagian pemandu kren dengan ketinggian 30 meter.

“Difahamkan mangsa yang dalam keadaan lemah itu disedari rakan mereka selepas mangsa tidak memberi maklum balas melalui ‘walkie-talkie’.

“Pemeriksaan lanjut, mangsa didapati seperti keletihan dan dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Akmal berkata, pihaknya terpaksa menggunakan sebuah lagi kren untuk mengambil mangsa sebelum dia dibawa turun dengan menggunakan sistem pengusung bertali.

“Mangsa diturunkan 7.50 malam sebelum diserahkan kepada ambulans untuk di hantar ke Hospital Kajang bagi rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:22 PM