Bekalan makanan dibawa dari helikopter untuk diagihkan kepada mangsa banjir. FOTO Ihsan TUDM
Norizuan Shamsuddin


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan bagi menghantar bantuan bekalan keperluan asas seberat 1,500 kilogram kepada mangsa banjir di sekitar kawasan Felcra Keruak, Besut hari ini.

TUDM menerusi satu kenyataan berkata, barangan itu dihantar menggunakan Helikopter model EC 725AP dari Pangkalan Udara Gong Kedak ke Padang Bola Felcra Keruak bermula 10 pagi.

“Barangan keperluan asas seperti beras, biskut, bihun, kicap, tikar, toto dan khemah itu adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“TUDM membantu menghantar bekalan itu menggunakan helikopter yang dipandu Mejar Zool Amali Shodali bersama Kapten Wan Muhammad Haqimi Wan Zin.

“Misi berkenaan diketuai Leftenan Kolonel Nor Mizan Md Nor bersama Mejar Mohd Noor Hafiz Mat Said, Mejar Tytin Sabrina Mustapha serta Kapten Azila Abdullah.

“Semua barangan itu berjaya diserahkan kepada mangsa banjir di Felcra Keruak dengan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:37 PM