Dr Zulkifli (duduk dua dari kanan) ketika meninjau kedudukan kubur di Pantai Dalam hari ini. FOTO Ihsan Twitter Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

CAKNA dengan isu kedudukan kubur di Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang dilaporkan sedikit terpesong, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, melakukan tinjauan ke kawasan itu.

Beliau berkongsi beberapa foto yang merakamkan tinjauan dan perbincangan mengenai isu berkenaan di tanah perkuburan terbabit di laman sosial beliau hari ini.

“Mesyuarat bawah pokok berhubung kedudukan kubur yang dilaporkan sedikit terpesong dari arah kiblat,” katanya menerusi akaun Twitter.

Menurutnya, perbincangan boleh diadakan di mana-mana asalkan efektif, ada persediaan, pengurusan masa yang bijak, ringkas dan paling penting, ada ‘follow up’.

“Kami menjelaskan fiqh kedudukan kiblat yang bersifat zati dan jihati berdasarkan Fiqh Syafie dan praktikal pada masa kini dengan menggunakan peralatan moden.

“Mesyuarat ditutup dengan sedikit majlis tahlil dan bersalam-salaman,” katanya yang turut menjelaskan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.


Dr Zulkifli melihat isu kedudukan kubur di Pantai Dalam. FOTO Ihsan Twitter Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Turut memberikan kerjasama ialah Unit Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan jawatankuasa Masjid Khadijiah.

Difahamkan, selepas penelitian dibuat, kubur yang didakwa terpesong arahnya itu, masih dalam lingkungan dibenarkan dari sudut fiqah atau hukum syarak dan selari dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 1 November lalu.

Perkara itu turut menarik perhatian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang memberi ulasan berikut:

“Ini di Lembah Pantai. Tanah perkuburan di Jalan Kubur, bawah pentadbiran Masjid Jamek Khadijiah.”

Fahmi berkata, selain isu arah kiblat, beliau pernah membangkitkan keperluan pengurusan yang mampu mengoptimumkan penggunaan ruang yang ada.

“Jzkk (jazakallahu khairan) DS (Datuk Seri) kerana berkunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:02 PM