Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini, diberitahu dua tukul ditemui di luar kediaman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, dan isterinya, Samirah Muzaffar di Mutiara Damansara.

Saksi pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata, beliau menemui kedua-dua alat pertukangan itu dua hari selepas kebakaran di rumah pasangan itu pada 14 Jun 2018.

“Saya diarahkan untuk datang semula ke rumah mangsa oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM, Edwin Teruki selepas hasil pemeriksaan dan ujian X-ray terhadap telefon bimbit mendapati tiada kesan letupan.

“Satu daripada tukul itu ditemui di bahagian luar rumah di bawah bilik tidur yang terbabit dalam kebakaran manakala satu lagi ditemui berhampiran dengan pagar jiran,” katanya ketika disoal soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Soib @ Hamid, pada pemeriksaan utama di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Menurut Abdul Halim, penemuan kedua-dua tukul itu memberikan satu petunjuk yang mencurigakan dalam kes kebakaran membabitkan mangsa berkenaan.

“Saya kemudian mengambil gambar tukul itu untuk berikan maklumat kepada pihak polis.

“Penemuan tukul ini juga saya tidak dimaklumkan kepada Samirah,” katanya yang menjelaskan tindakan itu dibuat bagi membolehkan proses siasatan dijalankan dengan lancar hingga selesai.

Saksi sama itu berkata, dua telefon bimbit masing-masing berjenama Blackberry dan Huawei yang ditemui di bilik tidur Nazrin didapati tidak mempunyai kad sim dan tiada kesan letupan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian pada 14 Jun 2018 membawa penemuan telefon Blackberry B yang terbakar di atas katil dan ujian X-ray mendapati ia masih berada dalam keadaan baik.

“Manakala telefon bimbit jenama Huawei pula dijumpai pada 19 Jun 2018, iaitu lima hari kemudian di bawah katil dan berdasarkan pemerhatian saya ia juga berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Samirah, 44, iaitu bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Prosiding perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:35 PM
ABDUL Halim selepas menghadiri perbicaraan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff