GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


KHIDMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak digunakan untuk membantu membuka pintu flat di Taman Harmoni, Buntong, Ipoh, sebelum menemui mayat wanita di dalam rumah berkenaan.

Difahamkan, sebaik pintu dibuka, Amandajit Kaur Toloh Singh,50, ditemui sebelum pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Jurucakap JBPM Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.14 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh ke lokasi kejadian dan membantu untuk membuka pintu flat berkenaan selepas dimaklumkan terdapat mangsa terperangkap.

“Anggota kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu sedan mendapati terdapat seorang wanita disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan operasi ditamatkan pada 10.53 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:20 PM