Noor Hidayah Tanzizi


POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai sebuah rumah teres dijadikan inap desa di Kampung Dato’ Seri Kamarudin, Manjung, rosak selepas tong gas dipercayai meletup sebelum ‘terbang’ merempuh kediaman itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kerosakan rumah itu yang dipercayai akibat tindak balas tong gas berkenaan pada 11.30 malam.

Menurutnya, saksi kejadian iaitu jiran rumah itu terdengar bunyi seperti guruh dan mendapati rumah itu rosak lalu menghubungi pemilik inap desa terbabit.

“Siasatan polis mendapati sebuah tong gas ‘oxy acetylene’ berada di dapur rumah berkenaan dan terdapat kerosakan pada pagar, pintu jeriji terkepak dan perabot serta sinki dapur pecah.

“Kejadian disyaki berpunca daripada tindak balas tong gas selepas dua atau tiga individu dikatakan mengetuk tong gas itu di padang terletak 30 meter dari rumah itu.

“Individu berkenaan disyaki pengutip besi buruk di kawasan sekitar dan kerugian dialami pemilik rumah dianggarkan RM10,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan berkemungkinan terdapat kecuaian individu terbabit.

Sehubungan itu, katanya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 1.05 minit menunjukkan keadaan rumah berkenaan rosak teruk terutama bahagian dalam dan perkakas rumah tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman video itu, pintu gelongsor dan jeriji besi rumah berkenaan pecah dipercayai dirempuh tong gas berkenaan dan keadaan berselerakan hampir di setiap bahagian dalam rumah.

Terdapat pintu dan dinding yang pecah, selain beberapa perabot dan perkakas rumah bersepah serta terdapat satu tong gas warna jingga dalam rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:24 PM
RUMAH teres dijadikan inap desa di Kampung Dato’ Seri Kamarudin, Manjung, rosak selepas tong gas dipercayai meletup sebelum ‘terbang’ merempuh kediaman itu, malam tadi. FOTO ihsan pembaca