GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


BUKAN hanya lelaki Mat Salleh, malah wajah menarik lelaki tempatan juga digunakan sebagai ‘modal’ oleh sindiket penipuan ‘Love Scam’ untuk menjerat mangsa.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya sudah lama mengesan taktik licik itu digunakan oleh sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, sindiket berkenaan akan menggunakan akaun lain yang diwujudkan menggunakan gambar individu berlainan.

“Ada kes dikendalikan (polis) mendapati sindiket menggunakan gambar pegawai dan anggota (pasukan) penguat kuasa bagi meyakinkan mangsa.

“Berdasarkan laporan diterima, kebanyakan mangsa memaklumkan gambar digunakan oleh suspek (sindiket) adalah mat salleh (orang asing), namun ada juga menggunakan gambar individu tempatan untuk menjerat mangsa.

“Dalam kes sebegini, bukan saja membabitkan Love Scam, malah taktik ini (menggunakan gambar individu lain) turut membabitkan penipuan lain seperti pinjaman tidak wujud,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saiful Azly berkata, pihaknya mengakui ada menerima laporan daripada beberapa individu berhubung kes seumpama itu, namun jumlah direkod tidak banyak.

“Sebaik menerima laporan, kami akan siasat dulu untuk memastikan sama ada gambar digunakan palsu atau sebaliknya.

“Malah, kami akan mengesan pemilik ‘wajah’ berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya yang akan merujuk kes terbabit kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau turut menasihati orang ramai berwaspada terhadap status serta gambar yang dimuat naik di media sosial bagi mengelak ia digunakan oleh sindiket penipuan.

“Jika dilihat, sudah menjadi satu kegilaan orang ramai untuk memuat naik gambar sendiri ke media sosial, sebaliknya ia akan digunakan penjenayah untuk memerangkap mangsa.

“Justeru, orang ramai diingatkan tidak memuat naik gambar peribadi tanpa tetapan yang selamat, guna aplikasi bertanda tangan digital serta mengakses media sosial menggunakan peranti serta lokasi selamat,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan pakar teknologi maklumat (IT), Hazman Halid yang bertugas di Vienna, Austria mendakwa gambarnya digunakan sindiket penipuan ‘Love Scam’ selepas melihat status dimuat naik beberapa wanita tidak dikenali yang memburuk-burukkan namanya di media sosial.

Berita berkaitan

Tolong! Aku bukan dia!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:51 PM