NURIZA memberi minuman kepada Zulkifli ketika tinjauan di PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang, hari ini. FOTO Bernama.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SUAMI isteri lumpuh menyelamatkan diri dengan bantuan anak dan menantu ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang, Sabtu lalu.

Pasangan berkenaan, Nuriza Mat Yusoff, 45, lumpuh selepas menghidap penyakit buah pinggang dan saraf manakala suaminya, Zulkifli Ya, 52, lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat angin ahmar.

Nuriza berkata, rumahnya berdekatan Sekolah Cina di Jalan Bunga Raya dinaiki air sedalam satu meter di dalam rumah.

Ibu kepada dua anak itu berkata, ketika dia berpindah, kediamannya dinaiki air pada paras 0.5 meter (m) dan dia berpindah dengan anak bongsu, Mohd Zikmi Zulkifli, 20, dan menantunya.

“Anak bongsu mengangkat saya dan suami masuk dalam kereta sebelum membawa ke PPS pada 5 pagi kerana air naik secara mendadak.

“Alhamdulillah kami selamat berada di sini walaupun air di rumah semakin naik pada masa ini,” katanya ketika ditemui di SK Gual Tinggi, hari ini.

Peniaga, Norita Zakaria, 45, dari Kubang Chenok berkata, dia berpindah ke PPS Ahad lalu selepas air di rumahnya naik pada paras 0.5m.

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal di bahagian kaki berkata, dia datang ke PPS dengan menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Masalah banjir tidak pernah selesai kerana rumah saya berada di kawasan rendah dan setakat ini saya berdepan dengan banjir lebih 30 kali.

“Saya bersyukur selamat berada di sini walaupun terpaksa meninggalkan rumah dan banyak barang yang tidak sempat diselamatkan kerana ditenggelami air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:55 PM