KAWASAN di pekan Camaliq, Filipina yang terjejas akibat Taufan Kammuri. FOTO REUTERS.
Khairul Najib Asarulah Khan


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas susulan Taufan Kammuri yang melanda Filipina.

Menerusi kenyataan, kementerian memaklumkan memantau perkembangan bencana itu dan mendapati kawasan yang terjejas teruk di Luzon dan Visayas.

“Buat masa ini, tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana alam berkenaan.

“Namun kita menasihati rakyat Malaysia yang berada di sana supaya sentiasa berhati-hati dan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan demi keselamatan.

“Rakyat Malaysia di negara berkenaan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Konsulat Kedutaan Malaysia di Manila di talian 63 2 662 8200 atau 63 917 864 0761 (selepas waktu bekerja) atau emel kepada [email protected],” katanya.

Media antarabangsa hari ini melaporkan, angin kencang dan hujan lebat di negara itu menjejaskan penerbangan, sekolah serta pejabat kerajaan.

Pada masa sama, lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas terdapat amaran banjir dan tanah runtuh.

Lapangan terbang utama di Manila akan ditutup selama 12 jam bermula 11 pagi hingga 11 malam sebagai langkah berjaga-jaga, namun penerbangan diteruskan di kawasan yang tidak terjejas.

Menurut biro cuaca, kelajuan angin yang dibawa taufan terbabit mencecah 155 kilometer sejam dan ia boleh mencapai sehingga 235 kilometer sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 8:46 PM