MOHAMED Roseli Dol. FOTO Zunnur Al Shafiq


MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi di negara ini bagi mendapatkan jaminan pekerjaan selain penajaan pendidikan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Datuk Mohamed Rosli Dol berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa agensi termasuk Malaysia Airlines Bhd (MAS), AirAsia Berhad (AirAsia), CIMB Bank Bhd (CIMB), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan lain-lain lagi.

Menurutnya, mekanisma dilihat dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan ketika ini.

“Kita sudah bertahun-tahun taja penuntut. Pengakhirannya, mereka nak kerja juga. Jadi kita kena kerjasama dengan industri atau agensi seperti ini melalui keperluan yang diminta.

“Kerjasama itu akan membabitkan tiga cara iaitu jaminan pekerjaan tanpa membabitkan penajaan; penajaan tanpa jaminan pekerjaan dan hybrid iaitu jaminan tajaan bersama MARA dan pekerjaan ditawarkan agensi terbabit.

“Melalui kepelbagaian ini, MARA sebagai penganjur (memberi pinjaman) tidak terbeban dengan hanya dia (MARA) seorang memikul itu semua.

“Kita mahu ubah pemikiran yang MARA bukan saja beri peluang pinjaman pendidikan tetapi peluang dapat pekerjaan juga,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam majlis itu, 27 penuntut di negara ini ditawarkan berikutan mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke luar negara selain tawaran pinjaman melalui MARA yang disampaikan Rina.

Kesemua mereka berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.90 melalui program Kecemerlangan Pelajar Institusi Kemahiran MARA (IPMa).

Seramai 20 penuntut itu akan melanjutkan pelajaran ke Australia, Jerman (4), New Zealand (2) dan seorang lagi di Jepun.

Sementara itu, Rina dalam ucapannya menyeru agar penuntut yang melanjutkan pelajaran di luar negara itu supaya mengalas tanggung jawab baharu dengan penuh rasa hormat dan berintegriti tinggi seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tujuan utama anda ditawarkan melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah untuk menimba sebanyak mana ilmu dan teknologi, mendapat pendedahan dan pengalaman dari segi pendidikan dan sosio budaya masyarakat di luar negara yang boleh diterapkan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Ambillah nilai-nilai positif masyarakat terbabit selagi ia tidak bertentangan dengan budaya dan kepercayaan kita.

“Anda sebagai duta kecil negara perlu menunjukkan sikap dan jati diri unggul sebagai rakyat Malaysia serta menjaga nama baik anda, keluarga, agama, dan negara serta tidak ketinggalan menjaga nama baik MARA,” katanya.

Dalam majlis itu juga MARA turut meraikan 98 pelajar yang sedang menunggu tawaran melanjutkan ke luar negara daripada Kolej Kemahiran Tinggi MARA, MARA-Japan Industrial Institute, German Malaysia Institute, Kolej Profesional MARA, Kolej Poly-Tech MARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA dan Universiti Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:16 PM