ASISTEN Komisioner Abdul Halim Saidin meninggal dunia akibat serangan jantung, petang semalam.
Hadzlihady Hassan


TIMBALAN Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Abdul Halim Saidin, 54, meninggal dunia akibat serangan jantung, petang semalam.

Abdul Halim dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas rebah ketika bermain boling di Sunshine Square, Bayan Baru pada 5.45 petang.

Beliau dimasukkan ke zon merah HPP sebelum disahkan meninggal dunia pada 6.47 petang.

Allahyarham yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagran berkata, jenazah dibawa pulang ke Surau Perumahan Pegawai Kanan Polis di Sungai Dua untuk disembahyangkan.

“Jenazah Abdul Halim seterusnya dibawa pulang ke kampungnya malam tadi ni dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Masjid Lama Lepai, Alor Setar, Kedah pagi ini.

“Beliau adalah seorang pegawai berdedikasi dan baru dinaikkan pangkat serta menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua JPJKK kira-kira enam bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:25 AM