RINA (berdiri kanan) berbual dengan graduan cemerlang yang akan melanjutkan pengajian di luar negara pada majlis hi-tea di Kuala Lumpur, semalam. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ.


“DUA kali saya tipu mak kata saya pindah universiti walaupun sebenarnya dibuang akibat keputusan tidak baik.

“Namun, saya tebus balik dengan dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat tawaran belajar di luar negara,” kata Muhammad Mirza Ayman Tengku Arfani, 23, semalam.

Beliau adalah graduan German Malaysia Institute (GMI) dalam bidang Diploma Elektronik Industri yang meraih keputusan cemerlang sebelum ditawarkan melanjutkan pelajaran di University of Applied Sciences Mannheim, Jerman, (Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektronik) tahun hadapan.

Menurutnya, sebelum ini dia melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam asasi kejuruteraan dan Diploma Mekatronik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), namun gagal sehingga dibuang dari institusi itu.

“Perkara itu membuatkan saya termenung seketika. Saya cakap dengan diri, saya kena berubah dan membantu ibu serta nenek yang susah payah membesarkan saya.

“Mak adalah ibu tunggal. Dia bersusah payah membesarkan saya dengan menjalankan perniagaan tempahan makanan.

“Selepas saja tamat belajar saya cerita balik kegagalan di dua universiti itu dan Alhamdulillah dia faham dengan situasi dihadapi kerana saya tidak mahu dia risau,” kata anak tunggal berasal dari Negeri Sembilan itu.

Terdahulu, beliau bersama 27 penuntut dari pelbagai institusi diraikan dalam satu Majlis Hi-Tea di sebuah hotel di ibu negara, semalam selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.90 melalui program Kecemerlangan Pelajar Institusi Kemahiran MARA (IPMa).

Mereka diraikan selepas mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke luar negara selain tawaran pinjaman melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Turut hadir, Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Datuk Mohamed Rosli Dol.

Muhammad Mirza Ayman berkata, dia memang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Jerman yang terkenal dengan teknologi tinggi.

Katanya, dia merancang mengumpul ilmu sebanyak mungkin sebelum pulang ke Malaysia dan berazam membuka syarikat untuk berkongsi ilmu dengan anak tempatan.

Sementara itu, graduan Kolej Poly-Tech Mara, Ayu Batrisyia Amirul Arshad, 21, berkata dia tidak pernah menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara sebelum ini berikutan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.

Namun, dia bersyukur apabila dipilih melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjan Muda Perdagangan Antarabangsa di University of New South Wales, Australia.

“Ketika saya melanjutkan pengajian peringkat diploma saya bangkit untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Alhamdulillah, usaha saya itu berbaloi apabila dapat keputusan cemerlang sebelum memilih untuk melanjutkan pengajian ijazah di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:34 AM