IBRAHIM berkemas di dapur dan meletakkan barangan di atas meja ketika membersihkan rumahnya di Kampung Baloh, Manir. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“KAMI membersihkan rumah dalam keadaan bimbang kerana risau kediaman dimasuki ular ketika banjir,” kata Ibrahim Ali, yang menjadi mangsa banjir di Kampung Baloh, Manir.

Ibrahim, 59, bersama isterinya, Aini Endut, 56, ditemui ketika membersihkan rumah selepas dinaiki air sedalam 1 meter sejak 1 Disember lalu.

Katanya, dia bersama isteri tinggal di rumah pusaka itu sejak 16 tahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan kediamannya tidak pernah dinaiki air seteruk seperti tahun ini.

“Ketika banjir besar pada 2014 dulu pun, rumah kami hanya dinaiki air pada paras buku lali sahaja dan kami tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Manir.

“Tetapi banjir pada kali ini sangat luar biasa dan menakutkan apabila air naik sedalam 1 meter di dapur dan 0.5 meter di ruang tamu.

“Jika diikutkan kami tidak mahu berpindah tetapi memandangkan semua bahagian rumah dinaiki air, tiada tempat untuk tidur mendorong kami ke PPS itu,” katanya.

Ibrahim berkata, selepas air semakin surut, dia dan isterinya mengambil keputusan untuk pulang dan membersihkan rumah.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan sekiranya ada ular menyelinap masuk ke dalam rumah kerana sebelum ini ular sentiasa dilihat berada di kawasan luar rumah.

“Maklumlah rumah kami tidak jauh dari alur Sungai Sekati, oleh itu haiwan terbabit memang banyak di kawasan berkenaan.

“Jadi, sebelum membersihkan rumah, saya memeriksa terlebih dahulu setiap sudut di dalam rumah seperti di bawah almari, katil dan dapur kerana bimbang ular menyorok di situ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baloh, Mukhtar Ismail berkata, seramai lima keluarga di kampung itu berpindah ke PPS Balai Raya Kampung Manir sejak Ahad lalu.

Katanya, sebelum ini hanya berdekatan alur Sungai Sekati sahaja dilimpahi air dan penduduk tidak perlu berpindah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:54 AM