KEADAAN banjir. FOTO Fathil Asri
Syaherah Mustafa


PEMBINAAN benteng banjir di sebelah Thailand menyumbang kepada kenaikan paras air Sungai Golok yang lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.

Setakat ini, paras air Sungai Golok semakin meningkat dan menghampiri 10.7 meter (m) yang disifatkan tinggi dan berbahaya kepada penduduk sekitar.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ditambah pula dengan taburan hujan lebat di Jeli dan Tanah Merah menyebabkan aliran air ke Sungai Golok terus meningkat sebelum mengalir hingga ke Tumpat.

“Paras air di Sungai Golok kali ini naik lebih cepat daripada biasa yang mana purata kenaikan dari 0.1 m kepada 0.2 m hanya dalam masa satu dan dua jam.

“Polis sentiasa bekerjasama dengan semua agensi penyelamat lain bagi memastikan penduduk di Rantau Panjang selamat walaupun paras air sungai terus naik,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Roy berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Batalion 8, Pengkalan Chepa membantu membawa keluar 50 mangsa banjir yang terperangkap di Pasir Mas.

“Semua penduduk ini enggan berpindah ke PPS kerana mahu menjaga kediaman dan ternakan namun sekiranya banjir meningkat kepada 0.5 meter ke atas bantuan daripada tentera diperlukan bagi membawa keluar semua penduduk.

“Kawasan yang terputus laluan iaitu Rantau Panjang ke Kampung Jeram Perdah, Kampung Lubok Setol, Kampung Bakong dan Kampung Kubang Pak Itam, sementara di Pasir Mas laluan yang terjejas adalah di Kampung Serongga, Kampung Jeram Perdah dan Kampung Siram,” katanya.


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan helikopter model EC 725AP bagi menghantar bantuan banjir kepada mangsa di Padang Bola Felcra Keruak, Besut. FOTO Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:15 AM