ROHANI menunjukkan penularan maklumat palsu di aplikasi WhatsApp mengenai penawaran khidmat cucunya. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“SIAPA pula yang menokok tambah fakta di media sosial, mendakwa saya menggunakan cucu yang masih kecil untuk mendapatkan wang dan upah,” ujar balu, Rohani Hassan @ mak cik, Ani 59.

Katanya, sejak seminggu lalu, dia kerap menerima panggilan telefon bertanyakan mengenai bayaran untuk mengupah cucu-cucunya melakukan kerja mengemas kediaman, menyiram bunga, menyapu laman, mencuci baju dan membersihkan kediaman.

“Pelbagai panggilan diterima berpunca ada pihak yang sengaja mengubai suai fakta di WhatsApp sedangkan saya asalnya menawarkan khidmat urutan tradisional, ” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, individu tidak bertanggungjawab itu turut mendakwa cucu-cucunya itu anak yatim piatu dan mengambil upah sempena musim cuti persekolahan.

“Memang saya mempunyai beberapa orang cucu hasil perkahwinan anak-anak namun mereka bukanlah berstatus yatim piatu.

“Ramai yang salah faham sedangkan saya hanya menawarkan khidmat urutan tradisional sepenuh masa sama ada di kediaman sendiri atau di rumah pelanggan berhampiran.

“Apa yang berlaku kini, ramai yang menghubungi saya dan mengherdik selepas menuduh saya mengambil kesempatan terhadap anak-anak bawah umur,” katanya.

Rohani berkata, walau pun kurang mahir berhubung penggunaan laman sosial namun dia menyedari implikasi sekiranya menyebarkan fakta tidak tepat.

“Tujuan saya mempromosikan khidmat urutan tradisional di laman sosial adalah bagi mencari pelanggan. Tidak sangka ia menjadi sebaliknya,” katanya yang akan membuat laporan polis sekiranya masalah itu berlarutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:30 AM