HAMID tinggal sendirian memasak di rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“SAYA mahu tinggal di rumah orang tua. Biarlah saya menghabiskan sisa hidup di sana, hidup pun lebih terjamin,” kata Hamid Taib, 62, hidup sebatang kara di sebuah rumah di Bandar Springhill di sini.

Dia tinggal di rumah milik anaknya itu selepas diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan dua tahun lalu.

Hamid menamatkan perkhidmatan pada 1994 selepas 13 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pulau Pinang.

“Saya berpisah dengan bekas isteri pada 2013, selepas itu saya berhijrah ke Negeri Sembilan dan meneruskan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan bagi menyara kehidupan.

“Pendapatan memang tidak seberapa, tetapi cukup untuk menampung keperluan saya sendiri. Namun disebabkan faktor usia, saya diberhentikan kerja dan sejak itu saya hilang pendapatan.

“Saya bersyukur anak sediakan rumah untuk saya berteduh,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan di sini, semalam.

Terdahulu, Hamid menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) yang turut menyampaikan sumbangan kepadanya

Selain mengharapkan anak, Hamid juga baharu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

“Tiga anak saya semua sudah berkahwin dan tinggal bersama keluarga masing-masing, tapi alhamdulillah mereka tidak lupakan saya serta kerap membantu mengikut kemampuan.

“Sekarang ini saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi berikutan itu saya bercadang untuk pindah ke rumah jagaan orang tua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 6:00 AM