Siti Zarinah Sahib

SEMAKIN ramai ibu bapa memilih untuk mempraktikkan sekolah di rumah atau homeschooling untuk anak-anak mereka. Meskipun ramai tidak biasa dengan cara ini namun ia membuka ruang kepada ibu bapa menyediakan masa depan anak-anak mengikut acuan mereka sendiri selain memberi peluang ibu bapa berperanan sebagai guru di rumah secara lebih efektif.

Hafiza Abd Rahman, 35, dan suaminya Azhar Zahir, 35, adalah di antara ibu bapa yang memperjuangkan pendekatan ini terhadap empat anak mereka Kirua Hakimy, 15, Ashyekin Rei Hikaru, 13, Afiqah Yunaru, 12 dan Adany Aurora Hydeaki, 11.

Menurut Hafiza, idea menyekolahkan anak di rumah tercetus hasil pengalamannya sendiri. Oleh kerana ibu bapanya sibuk bekerja, masanya banyak dihabiskan di rumah nenek. Nenek mengajarnya banyak perkara dan cuba mencari jawapan kepada pelbagai soalan diutarakan. Di rumah pula bapanya selalu membeli dan membacakan buku untuknya.

“Bersekolah di rumah sangat menyeronokkan dan saya mula terfikir untuk melaksanakannya apabila kelahiran anak pertama. Ada banyak cabaran menanti untuk memulakan persekolahan di rumah, tetapi saya teruja kerana saya dan anak sama-sama belajar perkara baru setiap hari,” katanya yang ditemui di pusat pembelajaran holistik HappyMindz baru-baru ini.

FOTO Zulfadhli Zulkifli.
FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Hafiza mengakui, dia mendapat sokongan suami sepenuhnya. Suami sentiasa menyokong bagi memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. Dia memberi kebenaran selepas melihat Hafiza bersungguh-sungguh menjaga anak mereka sepenuh jiwa dengan menyusukan tiga anak selama dua tahun setengah.

“Pada masa sama suami memberi restu untuk bekerja di rumah sebagai pereka laman web dan penulis. Ia membolehkan saya bersama anak sepanjang masa, pada waktu senang dan susah. Kegembiraan saya dalam berkongsi ilmu bersama anak tidak dapat diganti dengan wang ringgit walaupun pernah ditawarkan pekerjaan di luar rumah dengan gaji lebih RM5,000 pada usia 20 tahun," katanya.

Menurut Hafiza, dia bukanlah menentang pendidikan awam kerana dia sendiri mempunyai pengalaman menyeronokkan ketika zaman persekolahan dan melanjutkan pelajaran di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Apa yang menguatkan semangatnya untuk meneruskan persekolahan di rumah ialah apabila melihat perbezaan dan peralihan zaman. Jika dulu ibu bapa boleh memaksa anak-anak mengikut keinginan mereka tetapi sekarang mereka seharusnya melihat kecenderungan dan minat anak.

"Zaman ini bukan seperti dulu. Ibu bapa harus bertanya minat anak dan jangan sesekali memaksa mereka mengikut kehendak ibu bapa. Ini berdasarkan pengalaman saya, dulu bapa mahu saya menjadi doktor, tetapi saya lebih meminati komputer. Sekarang saya buktikan yang saya lebih berjaya dalam bidang diminati," katanya.

Selain itu kebebasan masa bersama keluarga diperoleh sepenuhnya. Selain mengajar anak-anak di rumah, dia menentukan tahap kesihatan mereka menerusi penyediaan makanan sihat.

Dia yang menyediakan makanan sendiri di rumah mengakui MAGGI® CukupRasa™ memudahkan tugas wanita bagi menambah rasa masakan. Pelbagai hidangan boleh disediakan dengan cara perapan, tumisan, menggoreng, memanggang dan sup.

"Rasa dan aroma bawang segar bersama rempah ratus memberikan kelazatan yang diinginkan keluarga," katanya.

FOTO Zulfadhli Zulkifli.
FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Cabaran sekolah di rumah

Mengakui kewangan adalah cabaran terbesar Hafiza berkata, sebagai ibu dia sudah bersedia lebih awal, berjimat-cermat dan mendahulukan perkara membabitkan pembelajaran. Kos untuk menghantar anak menghadiri pelbagai kelas adalah sangat besar. Justeru dia mengajar anak-anak untuk tidak membazir serta mengutamakan keperluan pendidikan terlebih dulu.

“Alhamdulillah, suami giat melakukan pelbagai usaha untuk menjana kewangan bagi kelangsungan biaya tahunan. Kekangan masa juga menjadi lebih kerap kerana anak-anak pada peringkat usia ini lebih memerlukan perhatian, nasihat dan sokongan emosi ibu bapa,” katanya

Menurut Hafiza, sebagai ibu dan guru sepenuh masa dia perlu mengekalkan tahap kesihatan fizikal dan mental agar berada dalam keadaan baik bagi menguruskan anak-anak. Ini kerana apabila anak-anak meningkat remaja, kualiti pemakanan dan kesihatan perlu diubahsuai mengikut aktiviti agar seiring dengan matlamat yang ingin dicapai anak-anak.

Selain itu membuat jadual waktu serta mendisiplinkan anak-anak turut mencabar emosinya. Dia banyak membuat rujukan daripada pelbagai negara bagi mendapatkan kefahaman serta menyesuaikan dengan budaya di Malaysia.

Selepas 15 tahun kini dia berbangga dengan pencapaian anak-anaknya. Si bongsu Adany Aurora Hydeaki, 11, sedang menjalani peperiksaan persediaan untuk sijil O Level manakala anak sulung, Kirua Hakimy, 15, anak kedua, Ashyekin Rei Hikaru, 13, dan anak ketiga, Afiqah Yunaru, 12, sedang membuat persediaan peperiksaan A Level.

Di samping itu mereka turut berkemahiran dalam tarian balet dan seni mempertahankan diri seperti taekwondo, karate, aikido, brazilian jiu jitsu, judo serta wushu. Mereka juga mengikuti seni muzik dan mendapat pensijilan akreditasi Trinity College London (Trinity) dan Royal School of Music, United Kingdom (ABRSM) serta menyertai pelbagai kelas bahasa seperti bahasa Inggeris, Mandarin, asas bahasa Jepun, Sepanyol dan Perancis.

FOTO Zulfadhli Zulkifli.
FOTO Zulfadhli Zulkifli.

“Setiap anak juga mempunyai asas dalam piano dan mereka memilih pengkhususan ke alat muzik pilihan masing-masing pada usia sembilan tahun. Kirua memilih dram, Hikaru memilih piano dan biola, Yunaru gitar klasik dan Hydeiki masih berlatih piano dan berhasrat untuk menyambung belajar flut,” katanya.

HappyMindz sedia pendidikan holistik

Hafiza yang juga Pengarah Urusan HappyMindz menjelaskan penubuhan pusat ini membawa pengertian yang cukup besar, kerana mempromosikan minda ceria kepada kanak-kanak. Ia diperoleh menerusi kelas-kelas yang digubah mengikut minat anak cilik.

"Di sini kami tidak menyediakan pengajaran mengenai homeschooling sebaliknya menawarkan pelbagai aktiviti inovatif seperti tarian balet, jazz, hip hop dan tradisional, klinik perundingan pendidikan, pembelajaran sains, lukisan, kesenian, drama, muzik (piano dan gitar) dan kelas seni mempertahankan diri.

Ujar Hafiza setiap kelas ini dibantu pakar dan pelatih profesional dalam pembangunan kanak-kanak dan salah satu cara terbaik mewujudkan rangkaian komuniti kepada individu yang memasuki fasa baru dalam kehidupan.

Menerusi kempen 'Tak Kenal, Tak Cinta yang dilancarkan MAGGI® CukupRasa™ Hafiza berharap usaha yang dilakukan ini mampu menjadi pendorong wanita agar berani mengambil langkah pertama mencuba sesuatu yang baru. Ini kerana langkah berani ini dapat memberikan kesan positif sekali gus membantu wanita untuk lebih bersemangat dan berdaya saing pada masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut, layari www.maggi.com.my atau Facebook MAGGI Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 10:00 AM