TENGKU Hassanal. FOTO Ihsan IG Tengku Hassanal.
TENGKU Hassanal. FOTO Ihsan IG Tengku Hassanal.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SELEPAS hampir setahun menjalani latihan dan kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah akhirnya akan pulang ke tanah air.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri bonda baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi kemaskini di laman Twitter @cheminahsayang, semalam.

Raja Permaisuri Agong memaklumkan Tengku Hassanal bakal menamatkan kursus ketenteraan pada 13 Disember ini dan kembali ke Malaysia.

Tunku Azizah turut berkongsi bahawa baginda bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis perarakan pentauliahan Tengku Hassanal di Sandhurst, pada 13 Disember.

Raja Permaisuri Agong itu bertitah anakandanya akan berkhidmat di Rejimen 12 Askar Melayu Diraja, Kuantan, Pahang sekembalinya ke tanah air.

Sebelum ini Tengku Hassanal menamatkan pengajian dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland dalam bidang perhubungan antarabangsa dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 31 Januari lepas selepas ayahandanya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Hassanal antara beberapa anak-anak raja Melayu termasuk Al-Sultan Abdullah pernah dilatih dan dibimbing di akademi ketenteraan itu sejak berdekad lalu.

Baginda mengikuti latihan dan kursus ketenteraan di akademi itu selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:06 PM
Digital NSTP Subscribe