LIMA rumah dan sebuah blok penginapan pekerja kilang kayu musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
LIMA rumah dan sebuah blok penginapan pekerja kilang kayu musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Norasikin Daineh


SEKURANG-KURANGNYA 50 pekerja kilang tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah dan blok penginapan musnah dalam kebakaran di kilang kayu Jalan Patikung Ulu, Keningau, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 9 pagi, dengan kediaman dan blok itu menjadi tempat tinggal pekerja kilang terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 9.04 pagi dan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerah ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah blok penginapan pekerja yang ada 10 pintu dan lima rumah terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut jurucakap itu, pasukan berjaya mengawal api pada 10.30 pagi dan ia padam sepenuhnya 15 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan, tiada kematian dan kecederaan dilaporkan. Anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 3:15 PM
Digital NSTP Subscribe