MPS roboh bangsal yang dibina tanpa kebenaran di Prima Selayang. FOTO Ihsan MPS
Khairul Najib Asarulah Khan


BANGSAL yang dibina secara haram dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Prima Selayang, Gombak, hari ini.

Operasi 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu membabitkan 30 pegawai dan anggota yang terdiri daripada penguat kuasa MPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta KDEB Waste Management.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pada 14 November lalu pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pemilik untuk mengosongkan bangsal yang dibina secara kekal di tanah rezab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor berkenaan.

Menurutnya, pemilik berkenaan yang masih ingkar membuatkan pihaknya terpaksa merobohkan bangsal itu yang dijadikan sebagai premis barangan lusuh.

“Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 46 (1) a, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan serta tidak membina sebarang struktur di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Tindakan tegas akan diambil oleh MPS sekiranya pemilik masih ingkar mengikut undang-undang sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 6:34 PM