Najib ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk prosiding bela diri dalam kes skandal SRC hari ini. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Najib ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk prosiding bela diri dalam kes skandal SRC hari ini. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Raja Abdullah memberi ‘hadiah’ wang berjumlah RM3.2 bilion kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bermula 2011 hingga 2013.

Najib berkata, semua transaksi semua wang itu hanya diketahui ketika keterangannya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sejurus peguamnya menerima dokumen daripada AmBank.

“Pada ketika itu, saya diberitahu bahawa terdapat wang yang dihantar dalam mata wang AS (Dollar Amerika Syarikat) daripada pihak luar.

“Saya ditunjukkan tiga surat bertarikh 1 Februari 2011, 1 November 2011 dan 1 Mac 2013 yang didakwa daripada wakil sah Raja Abdullah.

“Ia menyatakan Raja Abdullah mengurniakan saya sejumlah sebagai hadiah yang boleh saya gunakan atas budi bicara mutlak saya,” katanya menjawab soalan peguam Rahmat Hazlan.

Terdahulu, Rahmat menunjukkan semua transaksi wang itu yang dihantar melalui Putera Faisal Turki, Kementerian Kewangan Riyadh, Blackstone Asia Real Estate Partner, Tanore Finance Corporation.

Menurut Najib, semua surat itu ada ditunjukkan kepadanya oleh bekas Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias yang memaklumkan beliau menerima surat sama daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

“Bagaimanapun, salinan asal itu tertinggal di pejabat saya di Jabatan Perdana Menteri dan saya ada memaklumkan kepada SPRM berhubung perkara itu.

“Secara umumnya, dana ini digunakan untuk inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan juga pembiayaan pilihan raya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus menjadi kerajaan.

“Ini akan memastikan kestabilan politik dan akan selari dengan apa yang diinginkan oleh Raja Abdullah,” kata Najib, 66, ketika prosiding bela diri berkaitan pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd (SRC),

Menjawab sama ada beliau terkejut berhubung fakta penghantar wang itu adalah Putera Faisal Turki dan Kementerian Kewangan Riyadh, Najib berkata, tidak kerana menjangkakan ia daripada Raja Abdullah.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, saya diberi kuasa untuk mengumpul derma bagi pergerakan parti dan bagi perbelanjaan berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Ini adalah amalan yang dilakukan oleh presiden dan pengerusi terdahulu.

“Raja Abdullah mengetahui bahawa ada PRU pada 2013. Pada dasarnya seolah-olah baginda tidak mahu kesan buruk seperti kebangkitan Arab Spring merebak ke Malaysia,” katanya

Menjawab sama ada beliau membelanjakan semua wang yang diterima pada 2013, Najib berkata tidak.

“Sehingga Julai 2013, saya diberitahu terdapat sejumlah wang tinggal dalam akaun lebihan daripada RM2.1 bilion. Jumlah itu adalah melebihi apa yang saya rancang bagi kegunaan masa terdekat.

“Saya juga berasa tidak selesa mempunyai wang yang banyak dalam akaun saya kerana bimbang jika maklumat itu bocor, ia pasti diputar belit di luar konteks politik,” katanya.

Oleh itu, Najib berkata, beliau memutuskan memulangkan hampir semua jumlah derma yang tidak dibelanjakan dan hanya menyimpan sebahagian daripadanya.

“Saya juga percaya dalam mengembalikan sejumlah besar derma yang tidak digunakan oleh saya adalah tanda niat baik saya kepada keluarga Diraja Saudi yang akan diambil kira oleh mereka dalam memberikan sokongan kepada saya pada masa hadapan.

“Akhirnya, sejumlah AS$620 juta dikembalikan kepada penghantar dana itu, Tanore Finance Corp dan baki sekitar RM162 juta dipindahkan ke satu akaun yang baru dibuka oleh saya pada Ogos 2013,” katanya.

Prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung semula pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 7:34 PM