MUHAMAD Kharul Iqhwan menaiki bot APM ke Kampung Pulau Ular. FOTO Ariffin Awang Chik
Siti Rohana Idris


SEORANG pelajar tingkatan tiga dari Kampung Derdap, Pengkalan Kubor berdepan cabaran untuk menghadiri peperiksaan memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) apabila terpaksa meredah banjir.

Muhamad Kharul Iqhwan Mohd Saiful Lizam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, terpaksa menaiki bot penduduk kampung terlebih dahulu dari rumahnya yang dinaiki air hingga paras pinggang untuk ke jalan utama.

Dia yang ditemani datuknya, Ariffin Awang Chik, 59, kemudian dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membawanya menaiki bot meredah kawasan sawah padi dipenuhi air untuk ke Kampung Pulau Ular memandangkan laluan Jalan Kesban sudah tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Ariffin berkata, mereka kemudian menaiki kenderaan disediakan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terus membawa mereka ke MRSM Tumpat.

“Peperiksaan dijalankan pada jam 2 petang, namun kami terpaksa turun awal jam 12 tengah hari lagi kerana bimbang perjalanan memakan masa kerana banjir.

“Perjalanan kami untuk tiba ke MRSM Tumpat memakan masa satu jam sedangkan jika hari biasa (tidak banjir) hanya 10 minit.

“Walaupun paras air Sungai Golok semakin menurun tapi air di beberapa kawasan kampung ini masih di paras sama sejak malam tadi,” katanya.

Ariffin berkata, sejak kelmarin, mereka sekeluarga sudah bimbang jika cucu tidak dapat menghadiri peperiksaan itu kerana bacaan paras air menunjukkan peningkatan.

Katanya, sejak tiga hari lalu, mereka menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk berulang-alik ke jalan utama.

“Nasib baik bacaan paras sungai beransur turun menjelang malam tadi, namun air di sekitar rumah dan beberapa kampung di sini masih tidak surut kerana menjadi kelaziman ia memakan masa dan sinonim dengan banjir termenung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 6:15 AM