Keadaan dapur sebuah premis makanan yang mengabaikan aspek kebersihan. FOTO Ihsan MPK
Keadaan dapur sebuah premis makanan yang mengabaikan aspek kebersihan. FOTO Ihsan MPK


TIGA premis makanan di Teluk Chempedak, Kuantan diarah tutup dua minggu selepas pemiliknya didapati mengabaikan kebersihan dalam Operasi Penggredan Restoran Bersepadu (OPRB) semalam.

Tindakan tegas dilakukan bagi memastikan peniaga mengutamakan kebersihan terutama dari segi penyediaan makanan seperti ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, arahan penutupan premis itu dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemilik diarah melakukan pembersihan dalam tempoh itu.

Katanya, premis yang mengendalikan makanan itu antara enam premis yang diperiksa dalam operasi itu.

“Operasi yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan turut mengeluarkan tujuh kompaun dan satu lesen perniagaan dibatalkan.

“Ini kerana pemilik premis didapati tidak mematuhi Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MPK) 1983 termasuk tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan,” katanya hari ini.

Dalam kes terbabit, beliau berkata, MPK sentiasa mengambil perhatian serius bagi memastikan pengendali makanan sama ada gerai dan restoran mengikut prosedur penyediaan makanan berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan.

Katanya, pengendali premis makanan wajib mengambil berat mengenai aspek kebersihan penyediaan makanan dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan pengunjung yang menjamu selera di premis makanan di daerah Kuantan.

“Kita tidak mahu pelanggan yang menikmati hidangan makanan dan minuman mengalami keracunan makanan.

“Sebaiknya keadaan di premis sentiasa bersih terutama peralatan yang digunakan dalam penyediaan makanan bebas kotoran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 12:00 PM