GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


PERISIAN dan sistem bagi e-Tunai Rakyat sedang diuji dan diperhalusi kerajaan sebagai persiapan bagi program agihan rangsangan digital secara one-off bernilai RM30 kepada rakyat Malaysia, yang dijadualkan mulai Januari depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sistem berkenaan diuji bersama dengan pengendali e-wallet (e-dompet) dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, usaha itu penting selaras garis masa yang ditetapkan dalam pelan projek bagi melaksanakannya pada Januari 2020.

“Inisiatif e-Tunai Rakyat adalah suatu inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan transformasi ke arah peningkatan penggunaan e-dompet dalam masyarakat dan peniaga terutama perusahaan kecil dan runcit untuk menerima bayaran digital.

“Pada pembentangan Belanjawan 2020 lalu, kerajaan akan menawarkan secara one-off rangsangan digital bernilai RM30 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 untuk dibelanjakan pada bulan Januari dan Februari, tahun depan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dikemukakan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mahu Kementerian Kewangan menyatakan status pelaksanaan pemberian RM30 kepada rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan e-dompet bermula 1 Januari ini.

Katanya, apa yang diperlukan hanyalah akaun e-dompet dengan identiti yang disahkan melalui penyedia perkhidmatan yang terpilih.

Guan Eng berkata, pelaksanaan oleh Khazanah Nasional itu memperuntukkan sehingga RM450 juta yang bakal memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

“Khazanah Nasional akan mengumumkan pengendali e-dompet yang terbabit kelak.

“Sekiranya peruntukan tersebut dituntut sepenuhnya dan berjaya merangsangkan perbelanjaan, kementerian akan mempertimbangkan peruntukan tambahan.

“Sambutan baik juga akan membolehkan inisiatif ini diulang dengan menyasarkan lebih ramai pengguna, pedagang dan pengendali e-dompet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 2:38 PM