SAKSI Pegawai penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli hadir dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
SAKSI Pegawai penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli hadir dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Sarah Zulkifli


SEORANG saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, bahawa beliau diganggu oleh keluarga tertuduh pertama, Samirah Muzaffar.

Gangguan itu diterima Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli ketika beliau sedang bersarapan di kantin Mahkamah Shah Alam, 8.30 pagi pada Selasa lalu.

“Ketika sedang makan dan minum, ada keluarga Puan Samirah berkata kepada saya ‘tunggu pembalasan’ sebanyak dua kali.

“Disebabkan takut dengan apa yang berlaku, saya kemudian menceritakan perkara ini kepada Timbalan Pendakwa Raya pada petang semalam ,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ketika disoal sama ada saksi itu boleh mengecam siapa yang mengganggunya, beliau menjawab, “Saya tidak boleh cam dengan jelas tapi tahu dia adalah keluarga Samirah.”

Abdul Halim berkata, ini berikutan meskipun tidak mengecam individu itu, beliau yakin berdasarkan wajah keluarga Samirah yang sama.

“Saya tahu dan memang pasti individu itu adalah keluarga Samirah,” katanya yang kemudian diarahkan Shafee untuk menunjukkan siapa individu yang mengugutnya di galeri awam.

Saksi itu kemudian menunjukkan seseorang yang sedang di galeri awam.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memberi amaran kepada keluarga Samirah supaya tidak mengganggu saksi kerana boleh menjejaskan syarat jaminan diberikan kepada kesemua tertuduh.

Terdahulu, sebelum sesi pemeriksaan balas kepada Abdul Halim, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Soib @ Hamid memaklumkan mahkamah bahawa saksi itu diganggu oleh keluarga Samirah.

Samirah, 44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Pada Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Samirah ,44, dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 4:01 PM