PENIAGA tomyam memonopoli perniagaan makanan di sekitar Nilai. FOTO Adzlan Sidek
Hasbi Sidek & Mohd Amin Jalil


PERNIAGAAN kedai makan sama ada milik warganegara Malaysia atau warga asing serta lain-lain perniagaan yang diusahakan dalam negara ini tidak terkecuali dan boleh dikenakan cukai.

Pengarah Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Ranjeet Kaur berkata, bagaimanapun ada juga warga asing yang culas membayar cukai yang menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara.

“Seksyen 3, Akta Cukai Pendapatan 1967 jelas menetapkan semua pendapatan yang diperoleh di Malaysia tertakhuk kepada pengenaan cukai pendapatan. Bagi sesuatu perniagaan, cukai pendapatan akan dikenakan selepas semua perbelanjaan operasi perniagaan yang layak diambil kira.

“Pengenaan cukai pendapatan juga tidak mengambil kira taraf kewarganegaraan dan status perniagaan yang dijalankan sama ada berlesen atau dijalankan tanpa lesen dan secara haram. Sekiranya warga asing itu hanya pekerja, maka cukai pendapatan akan dikenakan atas upah yang diterima jika ia melepasi tahap yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, pemilik premis juga boleh dikenakan cukai atas keuntungan perniagaan yang dijalankan warga asing.

Menurutnya, pemilik perniagaan dikenakan cukai atas keuntungan hasil daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan sekiranya keuntungan itu layak dikenakan cukai.

“Jika pemilik perniagaan hanya menerima bayaran atas penggunaan lesen atau permit atau premis perniagaan sahaja, bayaran itu adalah pendapatan yang boleh dikenakan cukai,” katanya.

Katanya, LHDNM menyedari ada dalam kalangan peniaga warga asing belum mengisytiharkan cukai pendapatan mereka.

Menurutnya, bilangan mereka yang menjalankan perniagaan dan jumlah kerugian kepada kerajaan tidak dapat dipastikan kerana ada di antara mereka yang menjalankan perniagaan ini secara haram tanpa lesen.

Namun, tindakan pengesanan sama ada melalui kaedah Lawatan Pendidikan Cukai (LPC) ke premis yang dikenal pasti dan kerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan serta pemerolehan maklumat daripada pihak ketiga akan terus dilakukan.

Beliau berkata, LHDNM tidak berkompromi dengan sebarang tindakan yang sengaja dilakukan untuk melarikan cukai yang menyebabkan ketirisan kepada hasil negara.

“Justeru, LHDNM menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat berkenaan pelarian cukai dalam kalangan peniaga warga asing menyalurkan maklumat kepada LHDNM melalui e-mel [email protected] untuk diteliti serta diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:30 AM