AZMIR ketika sesi temubual khas di Menara 1 Sentrum. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Rosyahaida Abdullah


PENERBANGAN dibatal, lewat berlepas dan bagasi rosak antara isu yang membolehkan pengguna pengangkutan awam udara melakukan tuntutan tertentu daripada syarikat penerbangan meskipun mereka tiada perlindungan insurans bagi perjalanan terbabit.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Azmir Zain berkata, masih ramai pengguna tidak sedar mengenai perlindungan yang wujud jika masalah membabitkan penerbangan mereka ditimbulkan pihak syarikat penerbangan.

Merujuk kepada senario lapangan terbang di negara ini yang mencatat jumlah pengguna tertinggi menjelang Disember setiap tahun, beliau menyeru pengguna supaya lebih mengambil maklum mengenai perkara itu bagi memastikan mereka mendapat hak sewajarnya.

“Daripada jumlah 100 juta pengguna lapangan terbang di seluruh negara sepanjang tahun, 10 juta tertumpu pada hujung tahun mungkin atas faktor cuti sekolah, Hari Krismas dan menjelang Tahun Baharu.

“Dalam kesibukan di lapangan terbang, apa saja boleh berlaku, justeru penting untuk pengguna diingatkan mengenai perkara ini.

“Misalnya, untuk penerbangan lewat dua jam, pengguna boleh menuntut makanan, panggilan telefon dan akses Internet, ini bukan insurans, tapi perlindungan yang wajib diberikan syarikat penerbangan kepada pelanggan mereka di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016.

“Bagi kelewatan lima jam ke atas pula, mereka turut layak diberi penginapan serta pengangkutan bergantung kepada keadaan.

“Bagaimanapun, semua perlindungan ini terpakai untuk penerbangan yang berlepas dari mana-mana lapangan terbang dalam Malaysia saja.

“Untuk penerbangan dari luar negara ke Malaysia, undang-undang negara ia berlepas akan diguna pakai untuk isu seperti ini,” katanya di ibu pejabat MAVCOM di sini.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, sejak MAVCOM ditubuhkan pada 1 Mac 2016, lebih 5,600 aduan diterima pihaknya yang mana 99.7 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:45 AM