FOTO HIASAN


TIGA lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan luka di sebuah rumah kongsi di sebuah ladang, dekat Gedok, Gemencheh, di Tampin, tengah malam tadi.

Susulan kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 29 hingga 42 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pihaknya turut menemui sabit panjang dan pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Sejurus mendapat maklumat kejadian pergaduhan di sebuah rumah kongsi yang didiami warga Indonesia, polis bergegas ke lokasi dan menemui tiga lelaki dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan luka.

“Ketiga-tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia adalah pekerja ladang syarikat lain dan bertandang ke rumah berkenaan, manakala tiga suspek yang ditahan adalah penghuni rumah.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban. Suspek akan direman hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu dua lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini yang dikenali sebagai Ari dan Ojak atau Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 11:48 AM