KAKI pancing mengambil peluang memancing ikan patin menggunakan teknik sembat. (Gambar kanan) Nur Muhammad Rashid, 26 menunjukkan patin yang dinaikkan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

SETIAP kali musim tengkujuh, kawasan pintu air di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat umpama pesta apabila menjadi tumpuan kaki pancing yang teruja memancing ikan patin.

Dengan menggunakan teknik sembat tanpa sebarang umpan, ikan patin yang keluar bersama arus deras daripada pintu air itu ditunggu oleh lebih 200 kaki pancing yang membanjiri kawasan itu tanpa mengira masa.

Difahamkan sejak lima hari lalu, lebih 50 ikan patin sudah berjaya diperoleh dengan saiz yang paling besar dinaikkan ialah 9.8 kilogram (kg) oleh pemandu lori, Mat Yie Abdullah, 44, pada petang kelmarin.

Mat Yie berkata, lokasi pintu air itu memang setiap tahun menjadi tumpuan kaki pancing di negeri ini.

“Biasanya sekitar dua minggu dalam musim tengkujuh, pintu air ini akan melepaskan arus deras dan sepanjang tempoh itu, lokasi ini tidak sunyi kerana pemancing akan datang tidak kira masa.

“Saya sendiri, sebaik saja pulang memandu lori, saya terus datang ke sini untuk menyertai aktiviti ini dan tidak menyangka memperoleh hasil lumayan,” katanya yang berasal dari Kampung Dalam Rhu, di sini.

Hasil tinjauan yang dibuat di kawasan itu mendapati kaki pancing bukan sahaja memancing dari tebing, tapi ada juga yang sangat hampir dengan muka pintu.

Kawasan sekitar juga dibanjiri orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri bagaimana kaki pancing menyembat batang pancing mereka dan akan sama-sama bersorak jika mata kail berjaya menaikkan hasil.

Seorang lagi kaki pancing, Nur Muhammad Rashid, 26, berkata pengalaman berjaya menaikkan ikan patin sangat mengujakan lebih-lebih lagi jika ikan itu bersaiz besar kerana sudah pasti hasilnya agak lumayan.

“Semua ikan patin yang berjaya disembat oleh pemancing akan dibeli pembeli yang sudah sedia menunggu di sekitar kawasan ini dengan harga RM10 untuk sekilogram.

“Hari ini saya hanya berjaya menyembat patin seberat 3.5kg saja dan sudah ada pembeli yang sanggup membayar RM35,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 12:24 PM