FAHMI. Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


ANGGOTA Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan ahli parti didapati bersalah mengganggu atau mensabotaj perjalanan kongres akan dikenakan tindakan tegas, termasuk dipecat.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menegaskan kekecohan dan cubaan beberapa perwakilan merempuh masuk dewan persidangan Kongres AMK, adalah kesalahan disiplin yang serius.

“Sesiapa yang melanggar tata etika dan disiplin parti, termasuk usaha menceroboh secara fizikal mengganggu atau mensabotaj perjalanan kongres akan dikenakan tindakan tegas, sama ada diberi surat tunjuk sebab atau dipecat.

“Jika mana-mana perwakilan ada aduan, ia perlu diutarakan menerusi saluran yang sah. Sebarang cubaan merempuh masuk bertentangan dengan disiplin parti,” katanya kepada pemberita di ruang legar dewan persidangan Kongres AMK di Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas tindakan bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor yang turut cuba masuk ke persidangan Kongres AMK, Fahmi menegaskan Mizan Adli tidak dibenarkan masuk kerana tidak layak menjadi perwakilan AMK memandangkan usianya sudah melebihi 35 tahun.

“Tindakan beliau untuk masuk adalah satu pelanggaran serius dan saya pasti pimpinan akan meneliti perkara ini kerana kekecohan ditimbulkan sudah pasti memburukkan imej parti dan pimpinan,” katanya.

Mengulas dakwaan Mizan Adli bahawa terdapat sekumpulan individu yang dibawa masuk tanpa sebarang pas ke dalam Kongres AMK, Fahmi memaklumkan tidak memiliki maklumat mengenainya kerana sewaktu kejadian, beliau berada dalam Kongres Wanita PKR yang berjalan lancar dan tenang.

Terdahulu, Mizan Adli mendakwa kira-kira 200 perwakilan tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan masuk, sedangkan sejumlah individu seperti ‘budak sekolah’ yang memakai baju hitam dibenarkan masuk sebagai pemerhati walaupun tiada pas.

“Kenapa pemerhati lebih ramai di dalam sedangkan tak ada pas masuk? Sedangkan ramai perwakilan yang ada pas tidak dibenarkan masuk. Ramai pemerhati terdiri daripada budak sekolah memenuhkan dewan sejak awal pagi,” katanya.

Berita berkaitan

Kecoh kerana tidak pakai baju Melayu [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 12:26 PM