TANDAS awam MPT di Lurah Semantan yang bersih dan selesa. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


“MACAM bukan tandas. Bersih, cantik dan wangi, siap ada alunan lagu lagi,” kata Syed Putra Syed Ahmad, 59, pengunjung ke tandas awam milik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Lurah Semantan di bandar Temerloh.

Katanya, tandas itu umpama bertaraf lima bintang kerana diuruskan dengan begitu baik dan pasti menyenangkan hati sesiapa yang datang.

Beliau berkata, biasanya tandas awam dalam keadaan tidak terurus termasuk berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pengguna.

Bagi Zaiton Hamid, 35, yang pertama kali datang ke situ terkejut dengan keadaan tandas awam yang disifatkan bersih dan selesa.

“Lantainya kering, dihiasi pula dengan bunga. Kalah tandas di rumah kita, malah kita boleh berehat di kawasan luarnya kerana dilatari dengan landskap menarik.

“Walaupun dikenakan bayaran 50 sen tetapi saya tidak berasa ralat kerana kemudahan yang disediakan begitu memuaskan hati,” katanya.

Usaha MPT menjaga kebersihan dan keceriaan tandas itu mendapat pujian pengguna dan mereka berharap lebih banyak tandas awam mencontohi usaha itu.

Sementara itu, Setiausaha MPT, Mohd Ali Mohd Amin berkata, pihaknya mengubahsuai sebuah bangunan berusia 30 tahun untuk dijadikan tandas awam.

“Pengubahsuai ini sebagai inisiatif untuk kemudahan awam kerana ia terletak berdekatan dengan terminal bas dan teksi, pekan sehari dan pasar tani.

“Terdapat 16 unit tandas termasuk sebuah tandas orang kurang upaya (OKU) selain bilik persalinan untuk bayi. MPT turut menyediakan ruang menunggu yang bersih dan selesa,” katanya.

Mohd Ali berkata, MPT turut menghiasi persekitaran tandas dengan landskap menarik sekali gus menjadi tanda aras kepada tandas awam lain di Temerloh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 2:25 PM