FOTO Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS akan memanggil pakar sejarah untuk membantu siasatan susulan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di dewan di Kajang, Selangor, Ahad lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pendapat pakar sejarah itu diperlukan bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan Perjanjian Damai Hatyai.

Menurutnya, pihaknya mungkin akan memanggil seorang atau dua orang pakar sejarah untuk memberi keterangan berkaitan isu ini bagi melengkapkan siasatan.

“Selain itu, beberapa individu termasuk penganjur juga sudah dipanggil bagi memberi keterangan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung penganjuran majlis Memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 53 laporan polis di seluruh negara diterima pihaknya berhubung isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 2:54 PM