TERTUDUH diiringi polis selepas hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Olivia Miwil


MAHKAMAH Sesyen di Kota Kinabalu, hari ini menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes lelaki Indonesia yang dituduh terbabit dengan kumpulan pengganas Daish.

Hakim Marlina Ibrahim menetapkan tarikh itu untuk laporan forensik ke atas telefon bimbit tertuduh, Mohammad Alif Sukari @Yoga Fabrianto, 23.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 1.15 tengah hari, 26 Mei 2019 di Kampung Keritan Laut di Keningau.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan perbuatan keganasan yang disimpan dalam telefon bimbit.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan barangan dilucut hak.

Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan kes sepatutnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, ketika sebutan semula kes, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah. Dia diwakili peguam Farazwin Haxdy.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kershanathan Pathmanathan.

Pada 21 Jun 2019, Muhammad Alif dihukum penjara selama empat bulan dan disebat kerana memasuki negeri ini secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 3:17 PM