ANGGOTA polis menyiasat lokasi seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui mati di kebun sawit, Kampung Abit, Serian. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum


LELAKI warga Indonesia ditemukan mati dipercayai dibunuh berhampiran rumah di kebun sawit di Kampung Abit, di Serian, semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, mayat lelaki berusia 27 tahun itu dijumpai terbaring dan berlumuran darah oleh penduduk pada 3 petang.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai beg galas milik lelaki itu kira-kira 10 meter daripada mayatnya ditemui.

“Pemeriksaan pada badan mangsa pula mendapati ada kecederaan di bahagian belakang leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, senjata digunakan juga belum dijumpai dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

“Suspek masih dicari dan siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti motif pembunuhan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 3:34 PM