Hanneeyzah Bariah Baharin


KAKITANGAN agensi penguat kuasa di Terengganu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penipuan dalam tuntutan satu program yang tidak wujud.

Sumber memberitahu, kakitangan agensi itu dipercayai memalsukan tuntutan mengadakan satu kursus di sebuah hotel di Kuala Terengganu sedangkan program itu tidak wujud.

Katanya, siasatan turut mendapati, kakitangan itu dipercayai menggunakan wang tuntutan bernilai belasan ribu ringgit untuk perkara tidak sepatutnya, yang melanggar prosedur perolehan kerajaan.

“Penipuan itu dikesan berlaku pada pertengahan tahun ini dan SPRM membuat siasatan terbuka terhadap kakitangan agensi penguat kuasa kerajaan itu yang dipercayai terbabit.

“Selain itu, siasatan turut membabitkan pihak hotel yang didakwa bersubahat dalam membuat tuntutan berkenaan.

“Ketika ini siasatan sudah selesai dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut di mahkamah,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM negeri, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan kes itu, namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu Mohd Zaki berkata, jumlah kes membabitkan salah laku dan rasuah di Terengganu berkurangan tahun ini apabila hanya enam pertuduhan di mahkamah membabitkan kes berkenaan, berbanding 20 pertuduhan kes sama tahun lalu.

“Sepanjang tahun ini juga, kita sudah melakukan 25 tangkapan, berkurangan berbanding 45 tangkapan tahun lalu membabitkan kes salah laku dan rasuah, manakala 36 kertas siasatan dibuka tahun ini berbanding 35, tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 3:55 PM